Make your own free website on Tripod.com

KURIKULUM MATEMATIK


PENGENALAN

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara, Matematik KBSM telah dirancang untuk memberikan pelajar pengalaman yang mengandungi:

kesepaduan antara ilmu, kemahiran, nilai dan bahasa;
kesepaduan antara matematik dengan mata pelajaran lain; dan
kesepaduan antara tajuk-tajuk matematik yang dipelajari; dan
kesepaduan antara matematik yang dipelajari dengan pengalaman di luar bilik darjah.

Sehubungan dengan ini beberapa aspek tertentu di berikan tumpuan khas dalam sukatan pelajaran Matematik KBSM. Aspek-aspek itu adalah:

Keseimbangan antara kefahaman terhadap konsep dan penguasaan kemahiran;
penggunaan matematik dalam situasi sebenar;
kemahiran penyelesaian masalah;
penerapan unsur-unsur sejarah matematik; dan
pemupukan nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kerohanian.

Sukatan pelajaran Matematik KBSM adalah bersifat umum dan merupakan satu kontinum daripada Tingkatan I hingga Tingkatan V. Kandungan sukatan pelajaran ini diolah mengikut tiga bidang yang saling berkait, iaitu Nombor, Bentuk dan Perkaitan. Olahan ini dipilih kerana dalam situasi umum seseorang itu memerlukan pengetahuan dan kemahiran berhubung dengan:

nombor, seperti membilang dan mengira;
bentuk, seperti mengenali sifat-sifat bentuk dan ukuran;
perkaitan, seperti mengenali dan menggunakan pola, petua, prinsip am, hukum, hubungan dan sebagainya yang terdapat pada nombor dan bentuk.

MATLAMAT DAN OBJEKTIF MATEMATIK KBSM

Matlamat Matematik KBSM adalah untuk memperkembangankan pemikiran mantik, anlitis, bersistem dan kritis, kemahiran penyelesaian masalah serta kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya seseorang individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan dan bertanggungjawab serta menghargai kepentingan dan keindahan matematik.

Objektif Matematik KBSM ialah untuk membolehkan pelajar:


1. mengetahui dan memahami konsep, takrif, hukum, petua dan teorem tentang nombor dan ruang;
2. memperkukuhkan dan memperluaskan penggunaan kemahiran tambah, tolak, darab dan bahagi;
3. menguasai kemahiran-kemahiran asas, iaitu
membuat anggaran dan penghampiran berkaitan dengan nombor dan ukuran;
mengenali bentuk-bentuk dalam alam sekeliling serta sifat-sifatnya;
mengukur dan membina dengan menggunakan alat-alat asas matematik;
mengumpul, merekod, mewakili dan mentafsirkan data;
mengenali dan mewakili perkaitan secara matematik;
4. menguasai kemahiran menjalankan algoritma (langkah-langkah tertentu) untuk mendapatkan keputusan yang dikehendaki;
5. menguasai kemahiran penyelesaian masalah yang melibatkan langkah sepeti mentafsirkan masalah, merancang dan melaksanakan strategi serta menyemak semula jawapan yang diperoleh;
6. menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam pengurusan kehidupan seharian secara berkesan dan bertanggungjawab; dan
7. memperoleh dan menghargai kebolehan membuat sesuatu secara mantik, bersistem, heuristik dan tepat.


[HOME]